UiTM beri cuti semester lebih awal
SHAH ALAM 24 Julai - Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak menutup semua kampus cawangannya di seluruh negara berikutan penularan virus selsema babi (H1N1) seperti yang didakwa hari ini.
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ibrahim Abu Shah menjelaskan, pihaknya hanya memberikan cuti semester lebih awal kepada para pelajarnya bermula Isnin depan sehingga 2 Ogos ini bagi membolehkan universiti itu melaksanakan langkah berjaga-jaga membendung penularan virus berkenaan.
Katanya, langkah itu dibuat berikutan penutupan sementara empat kampus cawangan UiTM sebelum ini masing-masing di Lendu, Melaka; Sri Iskandar (Perak); Permatang Pauh (Pulau Pinang) dan yang terbaru di Dungun (Terengganu) setelah beberapa pelajarnya disyaki mengidap H1N1.
Berikutan itu juga, sebanyak 5,100 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka di sini diarah bercuti selama seminggu berkuat kuasa hari ini sebagai usaha mengelak penularan selesema babi atau influenza A (H1N1) di kampus itu.
''Kami (UiTM) bukan tutup sementara kampus UiTM... Tidak ada kes pun hanya disyaki sahaja. Namun kami bersetuju dalam mesyuarat pengurusan untuk memberikan cuti semester lebih awal kepada para pelajar.
''Sepatutnya cuti semester akan bermula pada September ini tetapi kami awalkan sebagai langkah berjaga-jaga kerana tidak mahu berlaku penularan virus berkenaan di setiap kampus UiTM di seluruh negara.
''Ketika ini UiTM mempunyai kira-kira 140,000 orang pelajar di seluruh negara. Maka kami perlu lakukan tindakan awal bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini,'' katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin bahawa UiTM telah menutup semua kampusnya di seluruh negara setelah disyaki wujud kes penularan H1NI di empat kampus cawangannya di Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Terengganu.
Ibrahim menambah, sepanjang tempoh cuti itu, pihaknya akan melaksanakan langkah-langkah pencegahan di seluruh kampusnya termasuklah mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Kesihatan negeri masing-masing.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di kampus induk UiTM di sini mendapati, rata-rata penuntut universiti yang menginap di dalam kampus mula meninggalkan kolej masing-masing selepas pihak pentadbiran universiti mengumumkan perkara tersebut.
Seorang pelajar, Salwa Mehat, 21, berkata, tindakan mempercepatkan cuti semester adalah keputusan baik bagi penuntut universiti khususnya ketika penularan wabak H1N1 yang telah berlaku di beberapa cawangan UiTM.
''Saya pun bimbang juga setelah beberapa kampus cawangan UiTM dilaporkan sudah dilanda wabak ini kerana takut ia mungkin merebak di kampus induk ini.
''Lepas ini saya nak pergi beli tiket balik ke Alor Setar, Kedah dalam tempoh cuti ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi pelajar, Khairul Faiz, 21, pula memberitahu, dia pernah mendengar khabar angin bahawa ada seorang pelajar UiTM di sini yang mengalami simptom seperti H1N1, namun tidak pasti sama ada ia sah H1N1 atau tidak.
''Itu saya dengar daripada rakan-rakan dan tak pasti sama ada tindakan pihak pentadbiran UiTM mempercepatkan cuti semesta ini ada kaitan dengan kes itu atau sebaliknya,'' katanya.
UiTM Seri Iskandar sah H1N1
IPOH 23 Julai - Kesemua 10 sampel yang diambil daripada 280 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar semalam disahkan mengandungi virus selesema babi atau influenza A (H1N1).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon yang mengesahkan perkara tersebut berkata, kesemua pelajar terbabit kini dikuarantin di rumah bagi mengelakkan penularan virus terbabit.
Menurutnya, para pelajar yang disyaki menghidap H1N1 itu perlu mematuhi arahan untuk berada di rumah dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah diberitahu.
''Setakat ini belum terdapat gejala yang serius seperti sesak nafas di kalangan pelajar terlibat. Jadi kita mengarahkan mereka untuk berada di rumah bagi menjalani fasa pencegahan.
''Tetapi kita akan sentiasa memantau perkembangan mereka. Kita telah memberi taklimat dan meletakkan risalah di kawasan universiti mengenai bahaya H1N1," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Inter Agensi Kawalan Lalat Negeri di Jabatan Kesihatan Negeri Perak di sini hari ini.
Kampus UiTM Seri Iskandar ditutup selama seminggu bermula semalam selepas 280 pelajarnya disyaki dijangkiti virus H1N1.
No comments:
Post a Comment