Assalamualaikum..
Hari ini 24 Januari 2013 bersamaan 12 Rabiulawal 1434 hijrah...12
Rabiulawal 1434 hijrah merupakan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Maulidur Rasul berasal
dari perkataan Arab (kelahiran Rasul) di
mana ia merupakan hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Hari ini
jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi. Lazimnya
pada setiap tahun umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis
memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W dengan mengadakan beberapa
acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Bagi seorang Muslim,
tidak dapat kita tolak kenyataan bahawa tiada tokoh yang paling
berpengaruh dalam sejarah perkembangan manusia dulu, kini
dan masa hadapan melainkan seorang yang bernama Muhammad bin
Abdullah, seorang
Rasul dan kekasih pilihan Allah S.W.T.
Segalanya bermula dengan sebuah kisah cinta. Setiap yang dilakukan
menjadi lebih bermakna jika dihadiri dengan perasaan cinta. Dengan rasa cinta,
kita tidak akan berkira walau sebanyak mana kudrat yang perlu kita gunakan
untuk membuktikan sebuah nilai cinta pada insan tersayang. Pasti para pembaca
sendiri pernah melakukan sesuatu yang tidak digemari, tetapi harus dilakukan
juga atas dasar tanggungjawab. Cuba bandingkan dengan suatu perkara yang
dilakukan dengan penuh rasa cinta, khas buat orang yang dicintai. Saat hadirnya
cinta, yang susah jadi mudah, yang lama jadi sekejap, yang panas pun boleh
menjadi sejuk. Inilah pesona dan penangan cinta.
Semestinya perasaan itu tidak mampu hadir
serta-merta. Bukan mudah menerbitkan cinta. Bukan mudah juga untuk jatuh cinta.
Untuk mencintai, semestinya kita harus mengenali. Bukan cukup kalau sekadar
mengenali bibliografi, tetapi harus menganjak jauh mengenali hati budi.
Percayalah bahawa, setelah mengenali baginda, terlalu mudah untuk kita jatuh
cinta dengan insan agung yang dicintai Allah ini. Peribadinya sahaja sudah
cukup membuatkan yang mengenalinya tertawan. Mana tidaknya, akhlak baginda
merupakan cerminan al-Quran. Pelbagai kisah menarik yang tercatat dalam sirah
yang mampu membuatkan kita tersenyum, merindui kehadiran baginda dalam
kehidupan kita. Tambahan pula apabila mengetahui, saat hayatnya, kita semua
yang tak pernah diketemuinya ini disebeut-sebut, malah hingga ke akhir
hayatnya, baginda masih mengingati umatnya dengan lafaz syahdu..
"ummati..ummati..ummati...".
Mana mungkin kita gagal untuk jatuh cinta pada baginda?
Bukan setakat mencintai.. Setelah mencintai, pastinya jiwa
menggesa untuk berkorban membuktikan cinta. Dengan cinta, lafaz "Aku naik
saksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah" pastinya lebih bermakna.
Kesaksian yang terkepil dengan satu amanah penyaksian misi dakwah Rasulullah
yang harus diteruskan sudah tentu menjadi satu azam yang terpasak dalam jiwa.
Bukan lagi menjadi sebuah tanggungjawab yang dirasakan terpaksa untuk
dilangsaikan, tetapi sebagai satu bukti rasa cinta mengharapkan Rasulullah
S.A.W turut mencintai kita,mencintai umat yang tegar menuntun perjalanan
profesyen utama baginda, profesion seorang pendakwah.
Lafaz selawat"Sallallhu 'ala Muhammad,
Sallallahu 'alaihi
wasallam" juga mudah dilafazkan dengan getar
rasa cinta dalam jiwa. Tiap lafaz dialunkan dengan rasa cinta dan rindu yang
cukup mendalam, mengharap syafaat daripada baginda di akhirat kelak. Lafaz ini
pastinya dikumat-kamitkan selalu dengan penuh pengharapan supaya nanti saat
ketemu di akhirat, kitalah yang diperhatikan baginda saat baginda berpaling
melihat umatnya, dengan senyuman terindah. Subhanallah..betapa indahnya!
Dengan cinta inilah, seluruh kehidupan kita mempunyai roh sebuah kehidupan
bernilai akhirat, sejajar dengan matlamat baginda didatangkan kepada umatnya,
termasuklah kita, umat akhir zaman. Kedatangan baginda memberi sebuah sinar
kehidupan, yang memperjelas jalan-jalan ke Syurga. Semestinya, pilihan berada
di tangan kita. Mempertaruhkan sebuah ketaatan dengan satu keterpaksaan, atau
menyulam ketaatan dengan sebuah keikhlasan rasa cinta? Tepuk dada tanya selera.
Akhir kalam, ayuh kita risik-risikkan khabar jiwa kita semua.. Seistimewa
manakah nilai sambutan keputeraan baginda pada tahun ini pada kita? juga..
seistimewa manakah baginda Rasulullah dalam 364 hari yang lainnya pada pada
kita? Semoga nanti di akhirat, semua diantara kita berjaya memenangi
syafaat dan senyuman Raulullah..
Selamat menyulam cinta.
Eid
Milad, Ya Rasulullah....
Wassalam
^_^